PPKKM-KDN

Thursday, November 25, 2010

30 Ogos 2010 @ Kelly's Castle, Perak


     Sempena menghayati bulan kemerdekaan, saya memilih Kelly's Castle sebagai tempat menimba pengetahuan mengenai negara Malaysia yang kaya dengan sejarah yang tersendiri. Istana yang tidak siap sepenuhnya ini mempunyai keunikannya tersendiri malah, mempunyai cerita disebalik kemasyurannya.
    
     Kelly's Castle pada asalnya dimiliki oleh William Kellie Smith yang berasal dari Scotland. Pada tahun 1870, Kelly datang ke Tanah Melayu sebagai buruh binaan. Namun begitu, semasa beliau berada di Penang, seorang kontraktor telah mengambilnya bekerja dalam pembinaan jalan di Kinta, Perak.

     Akhirnya, pada tahun 1910, Kellie telah membuka ladang getah pertamanya dengan wang simpanannya bekerja sebagai buruh binaan. Nasibnya mula berubah apabila ladangnya menjadi yang terbesar di Malaya pada tahun 1914 berikutan permintaan getah yang amat tinggi pada ketika itu.

     Sebelum Kelly's Castle dibina, Kellie dan isterinya Agnes/Anna serta 2 orang anaknya iaitu Anthony dan Helen tinggal di sebuah rumah yang dibina pada tahun 1905 yang dinamakan Kellas House. Idea untuk membina Kelly's Castle tercetus selepas kelahiran anaknya yang pertama iaitu Anthony.

Kellas House

     Walaupun bangunan Kellas House ini kebanyakannya telah musnah sewaktu era perang dunia ke-2, namun sebahagian daripada strukturnya masih kukuh dan dipelihara.

Kellas House

(Rumah sakit & Kellas House) Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel

     Sebagai pemilik ladang yang prihatin, Kellie turut menyediakan rumah sakit bagi menjaga kebajikan pekerja ladangnya yang terdiri daripada kaum India untuk menerima rawatan. Pada awal tahun 1920-an ramai pekerja ladang telah menghidap sejenis penyakit yang dinamakan 'Spanish Flu' dan ramai yang mati dalam jangka masa yang singkat. Oleh kerana wabak yang tidak terkawal ini, para pekerjanya meminta kepada Kellie bagi mendirikan sebuah kuil yang terletak 1.5 kilometer dari istananya bagi memohon perlindungan. Dikatakan terdapat kuil berhampiran mengabadikan patung diri beliau pada struktur bangunan kuil yang sehingga kini masih kekal yang menunjukkan betapa mereka ini mengaguminya pada ketika itu.

Rumah Sakit

     Di sekitar kawasan Kelly's Caste ini diletakkan tiang-tiang perhiasan yang dibina sekitar tahun 1915 bagi menghiasi kawasan laman istana ini.

Tiang Perhiasan

     Sewaktu projek menaiktaraf jalan berhampiran, sebuah terowong air dijumpai di kuil berhampiran pada tahun 2003 yang digunakan bagi membekalkan air kepada pekerja-pekerja ladang.

Terowong Air

     Di bahagian sisi istana ini terdapat sebatang pokok yang dianggap istimewa kerana batangnya yang menyerupai seekor beruang. Difahamkan bahawa, pokok ini pada asalnya dibawa masuk dari luar negara ke Malaya sebagai hiasan perkarangan istana.

Pokok Misteri 

     Sebagai lambang kemasyuran serta kejayaan beliau, Kellie membina Kellie's Castle supaya kedudukannya setanding dengan mereka yang setaraf dengannya pada ketika itu.

Kelly's Castle - Pandangan Hadapan

Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel

Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel

     Terdapat 2 pintu masuk ke istana iaitu di sayap kiri (pintu utama)dan sayap kanan istana. Tingkat bawah memuatkan ruang tamu, dewan makan, bar, dapur, bilik sembahyang dan stor serbaguna. Di tingkat 2 pula merupakan bilik tidur utama dan bilik anak-anaknya serta sebuah stor menyimpan barang seperti tilam, bantal, cadar dan lain-lain keperluan.. Di tingkat 3 terdapat suatu kawasan lapang dinamakan 'Para Pad' yang dikatakan tempat bagi Kellie melihat sekitar ladang getahnya. Selain daripada itu, terdapat 2 bilik tetamu yang terdapat di tingkat 3 dan 4 istana ini.

Kelly's Castle - Pandangan Sayap Kiri


Kelly's Castle - Pandangan Belakang

     Di laluan utama ke pintu masuk, terdapat sebuah jambatan yang merentasi sebuah sungai. Di sinilah Kellie memandu kereta-kereta yang termoden miliknya keluar dan masuk ke Kellas House hampir pada setiap hari.

Jambatan - Laluan Masuk Utama (sumber-journeymalaysia.com)

     Laluan masuk pintu utama Kelly's Castle terdapat bilik pengawal yang akan menjaga keselamatan keseluruhan keluarga sekiranya mereka tinggal di sini. Bilik tidur utama yang terletak di tingkat 2 juga memudahkannya untuk memantau tugas pengawal-pengawalnya.

Guard House (Kanan) - Pintu Utama

Pintu Utama (Sayap Kanan)

Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel

     Di hadapan istana ini terdapat laluan ke satu lagi pintu masuk di sebelah kanan istana. Tangga yang dibina ke laluan ini dibina pada tahun 1905.

Tangga ke Sayap Kanan Istana

Gambar Hiasan - Bilik Sembahyang (Tingkat Bawah)

     Laluan masuk kedua (kiri) ini terletak bersebelahan dengan sebuah ruangan lif (kanan). Lif ini telahpun ditempah khas di Portugal, namun tidak sempat dibawa ke Malaya. Sekiranya lif ini berjaya disiapkan, ianya sepatutnya menjadi pengangkutan lif yang pertama di Malaya.

Pintu Sayap Kanan (Kiri) dan Lif (Kanan)

     Di tingkat bawah juga terdapat sebuah laluan ke tingkat bawah tanah yang merupakan sebuah bilik yang digunakan untuk menyimpan koleksi arak yang berkualiti. Terdapat sebuah laluan (terowong) rahsia dibina di dalam bilik ini yang merupakan laluan alternatif sekiranya berlaku kecemasan. Namun begitu, pintu ke laluan terowong ini telah ditutup oleh pihak pengurusan atas sebab-sebab keselamatan. Menurut sumber menyatakan bahawa terdapat 3 terowong bawah tanah yang terdapat di sini yang salah satunya ditemui sewaktu kerja-kerja menaiktaraf jalanraya dilakukan pada tahun 2003. Terowong ini sepanjang 1.5 kilometer panjangnya hingga ke kuil berhampiran. Sebuah lagi terowong membawa keluar ke perkarangan istana dan satu laluan terowong yang lain melintasi bahagian bawah sungai di hadapan istana.

Bilik Simpanan Arak

     Di bahagian belakang istana ini terdapat satu lubang yang seakan-akan perigi yang dijadikan sebagai sumber bekalan udara yang digunakan di terowong bawah tanah.

Sumber Udara - Terowong Bawah Tanah (sumber-journeymalaysia.com)

Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel

     Bilik minim/bar merupakan tempat di mana Kellie meraikan rakan-rakannya yang kebanyakannya merupakan tuan punya kebun getah di sekitar negeri Perak.

Bilik Minum/Bar

     William Kellie Smith merupakan seorang penganut agama Katholik. 
Bilik Sembahyang

     Di antara bilik tidur utama dan bilik anak-anaknya, terdapat koridor yang menghubungkannya. Menurut cerita sesetengah pengunjung dan penjaga istana ini, mereka pernah terlihat sekujur tubuh (Kellie) berjalan berulang-alik melalui koridor ini. Juga terdapat mereka yang turut mengisahkan kelibat seorang budak perempuan (Helen) yang memakai gaun putih turut dilihat menjenguk ke luar tingkap yang seakan-akan menanti sesuatu.

Koridor Tingkat 2

     Di antara dua bilik anak-anaknya (Helen dan Anthony) terdapat sebuah koridor lain yang bersambung di bahagian belakangnya yang menghubungkan kedua-duanya ke sebuah laluan kecemasan ke luar istana yang akan digunakan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Tangga Kecemasan

     Namun begitu isterinya (Agnes) dikatakan tidak berminat untuk tinggal di Malaya, dan mengikut sumber Anthony menyambung pengajiannya di England dan telah dihantar pulang ditemani ibunya.

Gambar Hiasan - Para Pad

     Pada tahun 1926, Kellie bersama Helen telah balik ke England atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Walaubagaimanapun, mereka sekeluarga ingin berkumpul di sana.

Gambar Hiasan - Para Pad

Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel

     Setelah menghantar Helen ke rumahnya di England, Kellie membuat kunjungan ke Lisbon, Portugal bagi membawa pulang 'Elevator' iaitu yang akan digunakan sebagai lif di Kelly's Castle.

Bahagian Sayap Kanan (Laluan Masuk Kedua)

Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel

     Namun begitu, Kellie tidak kembali ke Malaya selepas itu. Pada bulan Disember 1926, sewaktu berada di Lisbon, beliau diserang penyakit Pneumonia dan menghembuskan nafas terakhirnya di sana. Mayatnya tidak dibawa pulang dan dikebumikan di 'British Cemetery', Portugal.

Gambar Hiasan - Tombol Pintu

     Setelah kematiannya, Agnes telah menjual keseluruhan harta dan saham milik mendiang suaminya dan tidak pernah kembali ke Malaya.

Gambar Hiasan - Tangga Kecemasan dari Bilik Anthony dan Helen

     Anthony diberitakan telah terbunuh sewaktu Perang Dunia ke-2 dan Helen langsung tidak diketahui statusnya sehingga kini.

Gambar Hiasan - Ruangan Tangga Spiral

     Kini, Kelly's Castle yang penuh dengan sejarah ini masih gagah berdiri seakan-akan masih hidup dan terpelihara seiring dengan kemegahannya masa lalu.

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Gambaran sekiranya siap sepenuhnya - Sumber Discovery Channel




Kelly's Castle - In Memory

No comments:

Post a Comment