PPKKM-KDN

Sunday, January 20, 2013

18 Januari 2013_MVA@JalanLokeYewCheras

     "Tidak semena-mena,tiba-tiba dia jatuh.. Syukurlah tiada kenderaan lain di belakang..", kata saksi kejadian (topi keledar merah) ketika menceritakan detik cemasnya yang ketika itu menunggang di belakang motosikal mangsa.

     Dalam perjalanan pulang ke rumah lebih kurang pada jam 7 petang melalui Jalan Loke Yew - Cheras (Viva Mall), kelihatan seorang lelaki sedang terbaring di bahu jalan (Loke Yew - Pusat Bandar). Kelihatan bersamanya 2 orang penunggang motosikal lain yang kelihatan turut membantu. Perasaan turut ingin membantu memaksa saya untuk membuat pusingan-U melalui Taman Miharja.

     Tiba di lokasi kejadian, saya dapati mangsa dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan pada bahagian kaki. Menurut saksi yang melihat kejadian, motosikal Yamaha 135 LC yang ditunggang seorang lelaki secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas di tengah-tengah jalanraya yang sibuk dengan kenderaan pada waktu puncak sebegini.

     Bagi mengelakkan mangsa digilis kenderaan lain, saksi yang melihat kejadian mengambil tindakan segera dengan mengalihkan mangsa ke bahu jalan. Saksi tersebut turut menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan kejadian bagi memohon bantuan ambulans. Sementara menunggu bantuan kecemasan tiba, saya hanya mampu untuk memberi isyarat lencongan kepada pengguna jalanraya yang lain memandangkan keadaan lokasi yang berisiko kepada sebarang kemungkinan yang lain. Saksi kelihatan turut membantu bagi mengekalkan keadaan mangsa untuk sentiasa dalam keadaan sedar.

     Setelah 15 minit menanti, ambulans dari Pusat Perubatan Uiversiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) tiba bersama tiga orang kakitangannya. Seorang pemandu dan dua yang lain masing-masing memakai jaket yang tertulis PARAMEDIK PPUKM dan EMT PPUKM kelihatan turun dari ambulans tersebut. Setelah membuat pemeriksaan awal, beberapa peralatan dibawa keluar oleh salah seorang dari mereka bagi mengendalikan mangsa tersebut. Setelah mereka selesai menstabilkan kedudukan mangsa, kami turut diminta untuk menghulurkan bantuan untuk mengalih dan mengangkat mangsa ke atas 'stretcher'.

     Saksi turut menceritakan hal kejadian kepada kakitangan PPUKM tersebut bagi memudahkan proses mengenalpasti lain-lain masalah berikutan motosikal tersebut secara tiba-tiba hilang kawalan tanpa sebab. Beberapa minit selepas itu, seorang anggota polis trafik yang kebetulan melalui kawasan tersebut berhenti untuk bertanyakan perihal kejadian. Setelah ambulans pergi meninggalkan kawasan kejadian, saya bergegas menyambung kembali perjalanan pulang.

1 comment:

  1. For First Aid Store
    We are selling trauma bags, medical bags, first aid bags and other pouches in Malaysia.
    Welcome to view our page at http://www.facebook.com/forfirstaidstore
    Have a nice day!

    ReplyDelete