PPKKM-KDN

Wednesday, June 16, 2010

12 Jun 2010 @ Gunung Nuang

          Kerinduan terhadap Hutan Lipur Gunung Nuang akhirnya terubat jua dengan ketenangan dan kedamaian yang dinikmati selama dua hari satu malam berada di kawasan hutan simpan itu. Keindahan flora dan fauna pastinya memikat hati setiap pengunjung yang bakal menjadikan sesiapa sahaja yang datang ke sini terdetik untuk kembali semula.

     Gunung Nuang, Hulu Langat merupakan sebuah destinasi bagi pengunjung yang ingin menguji tahap kemampuan mereka dalam suasana pendakian yang amat mencabar. Terletak bersebelahan Empangan Hulu Langat, dengan perjalanan sekitar setengah jam dari pusat bandar Kuala Lumpur.

     Dengan kadar bayaran masuk RM 1 seorang, pengunjung bakal mendapat pulangan yang sangat lumayan di sepanjang perjalanan ke puncak gunung yang melepasi ke sempadan Negeri Pahang Darul Makmur.

     Masa pendakian ke puncak gunung memakan masa sekitar 5 – 6 jam bergantung kepada tahap kemampuan seseorang pendaki itu. Mereka juga harus melalui 3 “checkpoint” iaitu Kem Loloh, Kem Pacat dan Puncak Pengasih yang perlu meredah empat sungai sebelum sampai ke puncak.

     Dari pintu masuk utama, pengunjung perlu melalui trek balak yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda. Namun begitu pengunjung hanya dibenarkan berjalan kaki melaluinya. Sepanjang 45 minit meredah trek balak ini pengunjung bakal menyaksikan penempatan orang asli yang terdapat sekurang-kurangnya 4 buah keluarga di kawasan laluan itu. Pengunjung juga mungkin dapat menyaksikan golongan ini melakukan aktiviti harian mereka di sana. 

     Setibanya di penghujung laluan trek balak, pengunjung akan melintasi sungai pertama dan menyusuri laluan sepanjang laluan paip air menuju ke kawasan tadahan air yang telah wujud sejak tahun 1900. Setibanya di kawasan tadahan air setelah berjalan kira-kira 30 minit dari sungai pertama, tiga buah sungai lagi perlu dilintasi sebelum tiba ke Kem Loloh. Sepanjang laluan ini, terdapat beberapa kawasan perkhemahan dan ianya merupakan kawasan terakhir yang mempunyai sumber air di kawasan tersebut.

     Daripada Kem Lolo ke Kem Pacat kira-kira satu jam, merupakan perjalanan pendakian pada tahap sudut 30 ke 45 darjah adalah lebih mudah berbanding pendakian dari Kem Pacat ke Puncak Pengasih iaitu hingga mencapai tahap 65 darjah.

     Walaubagaimanapun, ekspedisi saya pada kali ini hanya berhenti di Kem Pacat memandangkan cuaca yang berkabus dan hujan lebat seolah-olah menghalang saya daripada meneruskan perjalanan. Ini memaksa saya untuk berpatah balik dan kembali ke Kem Loloh di mana saya telah mendirikan khemah sebelumnya.

     Namun begitu, saya tetap akan kembali lagi bagi meneruskan agenda untuk menawan semula puncak Gunung Nuang, Pahang Darul Makmur untuk kali yang seterusnya.

Nota : Sebelum ini hanya ke Gunung Nuang untuk operasi mencari dan menyelamat.

3 comments:

  1. to be honest, saya mesti masuk ke gunung ni...banyak benda kena shoot termasuk buah-buahan hutan...

    kaum orang asli adalah satu subjek penting di mana kita perlu tau nama suku kaum mereka dan berapa lama mereka di sana

    ReplyDelete
  2. Best x g sana...??
    Next time wat plan tuk group hiking kita lak ye...Mau Join!!!!

    ReplyDelete