PPKKM-KDN

Friday, June 18, 2010

Ekspedisi menjadi Operasi (12 Jun 2010 @ Gunung Nuang)

     Setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya. Itulah yang dapat digambarkan pada penghujung ekspedisi saya di Hutan Gunung Nuang ini. Kebetulan semasa saya mendaftarkan diri (12 Jun 2010) untuk memasuki perkarangan pintu masuk ke gunung ini, saya dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa terdapat sekumpulan Pengakap dari sekitar Hulu Langat dan Cheras akan membuat ekspedisi ke puncak gunung.

     Oleh yang demikian, saya membuat keputusan untuk mendirikan khemah berhampiran dengan kawasan perkhemahan mereka (Kem Loloh). Sekurang-kurangnya dapatlah saya menghulurkan bantuan sekiranya terdapat sesuatu yang tidak diingini berlaku semasa program berlangsung. Hanya sebatang sungai yang menjarakkan antara khemah saya dengan kumpulan ini.

     Kumpulan ini bercadang untuk memulakan pendakian sekitar jam 3 pagi (13 Jun 2010), namun begitu hujan yang turun sepanjang malam membuatkan ianya terpaksa ditangguhkan sehingga ke jam 7 pagi. Saya tidaklah bercadang untuk mengikut mereka kerana saya telahpun mendaki semalamnya dan memandangkan mereka turut mempunyai jawatankuasa yang menjaganya jadi, saya mengambil keputusan hanya menunggu di kawasan khemah saya disamping menghabiskan masa seharian menikmati keindahan alam.

          Jam 1800 : Kesemua peserta program selesai melaksanakan ekspedisi menawan puncak gunung. Kepuasan dan kegembiraan dapat dilihat daripada wajah mereka meskipun langkah longlai mengakhiri perjalanan mereka. Hujan yang turun semalaman menjadikan trek menjadi licin menyebabkan perjalanan mendaki dan menuruni amat perlahan. Namun begitu tiada sebarang kecederaan dihadapi oleh semua peserta. Setelah selesai membersihkan diri mereka mengemaskan kawasan perkhemahan untuk bergerak balik.

     Jam 1930 : Langit semakin gelap dan belum pun sempat mereka memulakan perjalanan keluar daripada Kem Loloh, hujan kembali turun. Dalam keadaan yang semakin lewat, kumpulan itu terpaksa meneruskan perjalanan kerana masa semakin suntuk memandangkan program ini sepatutnya selesai pada jam 1730 petang.

     2030 : Hujan yang turun semakin lebat memburukkan lagi keadaan laluan yang menyebabkan beberapa kali peserta tergelincir malah ada yang turut terjatuh. Mereka yang kurang rehat sekembalinya dari mendaki pada siang harinya bertambah keletihan dan yang memburukkan keadaan lagi apabila seorang demi seorang peserta mengalami kekejangan otot dan sukar untuk berjalan.

     2100 : Tiba di kawasan trek balak, kumpulan 20 peserta telah berpecah kepada 3 kumpulan. Melihatkan keadaan semakin buruk, saya mula berfikir bahawa sesuatu perlu dirancang bagi mengelakkan suatu malapetaka yang tidak diingini berlaku.

     2140 : Setibanya di salah sebuah pondok yang terletak di trek balak tersebut, kumpulan pertama dan kedua memutuskan untuk berehat bagi menghilangkan rasa penat dan meredakan kekejangan yang mereka alami. Semasa berehat, kami dimaklumkan bahawa salah seorang daripada kumpulan ketiga tidak lagi mampu berjalan. Setibanya mereka di tempat kami, saya mencadangkan sesuatu kepada guru pengiring kumpulan terbabit. Kumpulan besar akan berpecah kepada 2 kumpulan. Mereka yang berkeupayaan akan meneruskan perjalanan turun tetapi bagi mengelakkan lebih ramai yang keletihan, kesemua beg ditinggalkan di pondok rehat tersebut. Bagi peserta yang cedera akan menunggu di situ dan saya telah menghubungi JPAM untuk bantuan kecemasan.

     2230 : Pasukan penyelamat JPAM tiba di laluan masuk ke trek balak. Sebuah Landrover 4x4 beserta 2 orang penyelamat dikerahkan ke arah kami untuk membawa kami dan peralatan yang ditinggalkan oleh kumpulan pertama.

     2300 : Kenderaan penyelamat dilaporkan mengalami kerosakan sewaktu mereka hampir kepada kami. 'Clutch Gear' pecah dipercayai sebagai punca kenderaan itu tidak dapat bergerak. Ini menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa meminta bantuan pasukan pacuan empat roda (4x4) bagi membantu mereka menjayakan operasi tersebut. Sepasukan penyelamat digerakkan berjalan kaki ke arah kami bagi mengawal situasi sementara menanti pasukan 4x4.


     0400 : Kesemua mangsa berjaya dibawa turun dengan bantuan 3 buah pacuan empat roda dan seorang peserta dihantar ke Hospital Ampang menggunakan ambulans JPAM bagi mendapatkan rawatan susulan. Operasi selesai dan kesemua peserta bergerak pulang dengan pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan.

Nota : Gambar adalah ihsan daripada JPAM

No comments:

Post a Comment