PPKKM-KDN

Monday, July 19, 2010

16 - 18 Julai 2010_Latihan Zon Tengah @ Hulu Tamu, Batang Kali

     Selama 3 hari berkampung di Pahlawan Eco Resort, bagi menjayakan latihan pasukan zon tengah (Kuala Lumpur-Selangor-Perak). Pada kali ini Kuala Lumpur telah dilantik bagi menganjurkan latihan ini dan telah memilih Hulu Tamu, Batang Kali sebagai lokasi perkampungan peserta. Kesesuaian pemilihan tempat ini adalah bergantung kepada keadaan lokasinya yang amat strategik berdasarkan penumpuan kepada pengkhususan latihan (membaca peta dan kompas) serta tinjauan yang dibuat oleh pasukan tinjauan khas yang dihantar sebelumnya.

     Oleh kerana lokasinya yang terletak jauh ke pedalaman, hanya kenderaan tertentu sahaja yang boleh melaluinya untuk menuju ke kawasan tersebut. Ini adalah kerana, terdapat 2 sungai yang perlu dilintasi serta trek yang hanya sesuai dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda.

     Menyedari kesukaran itu, pihak pengurusan resort telah menyediakan sebuah kenderaan bagi memudahkan pihak urusetia mengendalikan latihan. Namun begitu, komitmen serta kesanggupan daripada sukarelawan yang turut membawa kenderaan mereka sendiri turut menyumbang kepada kejayaan latihan tersebut. Setiap negeri telah menghantar sekurang-kurangnya 25 orang peserta bagi menjalani latihan ini. Namun begitu, kesemua mereka telah digabungkan dan dibahagikan menjadi 6 kumpulan besar bagi melaksanakan tugasan tertentu. 

     Terdapat 3 'checkpoint' perlu dilalui setiap kumpulan dan setiap 'checkpoint' menanti tugasan yang menguji lain-lain kemahiran yang perlu diselesaikan oleh setiap seorang daripada mereka. Perjalanan ke arah 'checkpoint' tertentu adalah berdasarkan bearing yang telah diberikan oleh urusetia dan mereka perlu mencari 'checkpoint' seterusnya menggunakan kepakaran menggunakan kompas serta bacaan peta.

     Salah sebuah 'checkpoint' memerlukan peserta membuat 'kem sehari' menggunakan apa sahaja yang terdapat pada mereka dan sekitarnya. Peserta dibenarkan menggunakan kemahiran sendiri bagi menghasilkan kawasan berteduh terbaik bagi mendapatkan mata tertinggi buat kumpulan masing-masing.


No comments:

Post a Comment